Siaran Akhbar: Yayasan Hasanah Dan CARSOME Academy Berkerjasama Untuk Menawarkan Geran Bantuan Bernilai RM450,000 Kepada Belia Kurang Berkemampuan Di Luar Bandar

  • Yayasan Hasanah bekerjasama dengan CARSOME Academy untuk menyediakan biasiswa dan latihan kepada 25 belia B40 dari kawasan luar bandar di Malaysia.

  • Kerjasama ini bertujuan meningkatkan kadar kebolehpasaran melalui program TVET yang sejajar dengan keperluan industri, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, dan menyokong kehidupan yang mampan.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME Academy Teoh Jiun Ee dan Ketua Pegawai Program, Yayasan Hasanah, Intan Zalila Mohd Yusof, semasa pelancaran program  biasiswa, latihan dan kebolehpasaran TVET B40 dibawah inisiatif EmpowerYouth+ di Ibu Pejabat CARSOME Group di Petaling Jaya.

Shah Alam, 3 Februari 2025 – Yayasan Hasanah dan CARSOME Academy memeterai kerjasama untuk menawarkan biasiswa kepada 25 pelajar daripada komuniti B40 melalui inisiatif EmpowerYouth+ - Geran Khas Hasanah. Usahasama ini memberi peluang kepada belia yang kurang berkemampuan dari kawasan luar bandar di Malaysia untuk menyertai program teknikal dan vokasional (TVET) automotif di CARSOME Academy yang dirangka sejajar dengan keperluan industri. Program ini dirancang khas untuk menyediakan sumber pendapatan mampan sambil menangani isu kekurangan kemahiran kritikal dalam sektor tenaga kerja automotif.

Inisiatif EmpowerYouth+ bertujuan membawa perubahan positif kepada komuniti yang kurang berkemampuan dengan melengkapkan golongan belia bukan sahaja dengan kemahiran teknikal automotif tetapi juga pembangunan kepimpinan dan sokongan keperluan hidup.

Penerima bantuan yang berjaya akan menerima elaun perpindahan ke CARSOME Academy di Petaling Jaya, Selangor serta elaun bulanan untuk menampung perbelanjaan sara hidup di bandar, penginapan, dan elaun perjalanan. CARSOME Academy juga akan menawarkan diskaun lebih 30% daripada yuran biasiswa.

Kerjasama ini turut bertujuan memperkasa pertumbuhan juruteknik mahir serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. Usaha ini selaras dengan potensi sektor automotif Malaysia yang dijangka mencapai nilai pasaran sebanyak AS$8.32 bilion pada tahun 2024.

Gambar berkumpulan wakil-wakil dari CARSOME Group, CARSOME Academy dan Yayasan Hasanah yang diambil semasa pelancaran program biasiswa latihan dan kebolehpasaran TVET B40 di bawah inisiatif EmpowerYouth+.

Siti Kamariah Ahmad Subki, Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, berkata:

“Di Yayasan Hasanah, matlamat kami tidak terhenti pada menyediakan akses pendidikan yang saksama. Kami juga berusaha untuk memperkasakan belia Malaysia dengan kemahiran masa depan melalui latihan TVET berkualiti tinggi yang membawa kepada kerjaya mampan. Kerjasama dengan CARSOME Academy ini merupakan sebuah pelaburan buat potensi mereka, melengkapkan mereka dengan kemahiran automotif yang relevan dengan industri, latihan amali di bengkel CARSOME, dan keyakinan untuk membina kehidupan yang sejahtera. Melalui inisiatif seperti EmpowerYouth+, individu-individu ini bukan sahaja memperoleh peluang ekonomi malah turut menyumbang kepada kemajuan Malaysia dalam sektor automotif, di samping meningkatkan taraf hidup keluarga dan komuniti mereka.”

Teoh Jiun Ee, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME Academy, berkata:

"Kerjasama dengan Yayasan Hasanah ini merupakan langkah strategik ke arah memperkasakan komuniti yang kurang berkemampuan. Dengan melengkapkan golongan muda dengan kemahiran teknikal dan kepimpinan yang diperlukan untuk berjaya, kami bukan sahaja membuka peluang untuk mereka menceburi industri automotif tetapi juga membantu mereka membina masa depan yang lebih cerah untuk diri sendiri dan keluarga mereka. Mekanisme bantuan ini juga direka untuk memastikan pelajar dan keluarga mereka tidak perlu risau mengenai kos perpindahan ke kawasan bandar untuk menimba ilmu dan mencari peluang pekerjaan yang dapat meningkatkan taraf ekonomi mereka."

Pemohon inisiatif EmpowerYouth+ dan geran Yayasan Hasanah yang berjaya akan menjalani latihan TVET yang komprehensif, merangkumi sesi teori dan 70% penekanan pada sesi praktikal seperti lazim untuk semua pelajar CARSOME Academy seperti yang dilihat di gambar fail.

Geran Khas Hasanah adalah sebahagian daripada komitmen Yayasan Hasanah untuk memperjuangkan pembangunan yang bersepadu dan berkekalan di seluruh Malaysia. Dengan kerjasama CARSOME Academy, bantuan ini akan memastikan golongan muda, khususnya dari komuniti B40 luar bandar, menerima sokongan teknikal, peribadi, dan profesional yang mereka perlukan untuk berjaya dalam pasaran kerja yang kompetitif.

Program ini akan berlangsung selama 10 bulan, dengan fokus kepada menangani isu kekurangan kemahiran dalam sektor automotif sambil menyediakan pembangunan peribadi menyeluruh dan seimbang melalui modul tambahan seperti pembinaan resume, kemahiran temuduga, kecekapan IT, dan latihan kepimpinan.

Majlis tandatangan perjanjian program biasiswa latihan dan kebolehpasaran TVET B40 dibawah inisiatif EmpowerYouth+ telah diadakan baru-baru ini di Ibu Pejabat CARSOME Group di Petaling Jaya bersama Ketua Pegawai Program, Yayasan Hasanah, Intan Zalila Mohd Yusof (duduk, kanan) dan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME Academy Teoh Jiun Ee ( duduk, kiri).

Bidang Utama Kerjasama:

  • Biasiswa penuh untuk 25 belia yang kurang berkemampuan bagi mengikuti kursus TVET di CARSOME Academy.

  • Latihan TVET komprehensif yang menggabungkan pembelajaran praktikal dan teori, dengan 70% fokus pada pembelajaran praktikal.

  • Sokongan sara diri untuk mengurangkan beban kewangan pelajar sepanjang pengajian, termasuk perbelanjaan sara hidup, penginapan, dan elaun perjalanan.

  • Peluang latihan dalam pekerjaan (On the Job Training ) dengan kerjasama peneraju industri automotif seperti CARSOME, Proton, dan Chery.

  • Peluang pembangunan kerjaya, memastikan peserta dilengkapi dengan kemahiran yang sejajar dengan keperluan sektor automotif.

Selepas tamat pengajian, pelajar akan berpeluang menjawat jawatan seperti penasihat perkhidmatan, pemeriksa muda, dan juruteknik automotif.

Untuk maklumat lanjut atau untuk mendaftar, sila layari carsomeacademy.my atau hubungi +6016-262 9838.

###

Previous
Previous

Press Release: Yayasan Hasanah and CARSOME Academy Partner to Offer RM450,000 in Grants for Underserved Rural Youths

Next
Next

Press Release: CARSOME Partners With Petronas AutoExpert To Expand Its Aftersales Services Nationwide