Siaran Akhbar: CARSOME Pacu Kejayaan Harimau Malaya Sebagai Rakan Automotif Rasmi FAM 

(Dari kiri) Yang Berbahagia Datuk Mohd Joehari Bin Mohd Ayub, Presiden FAM, Datuk Noor Azman bin Hj Rahman, Setiausaha Agung FAM, Eric Cheng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CARSOME, bersama Teoh Jiun Ee, Pengasas Bersama CARSOME dan Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME Academy; di majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Thistle Hotel JB.

Petaling Jaya, 25 Mac 2025 – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan CARSOME mengumumkan jalinan kerjasama dua tahun dengan menjadikan CARSOME sebagai Rakan Automotif Rasmi FAM, sekali gus mengukuhkan komitmen bersama dalam memperkasakan bola sepak Malaysia. 

Kerjasama strategik dengan CARSOME, peneraju automotif tempatan Malaysia dan platform e-dagang kereta terbesar di Asia Tenggara ini bertujuan untuk menyokong usaha FAM dalam memperkukuhkan lagi pasukan kebangsaan lelaki dan wanita, sekaligus mencipta satu lagi tahun gemilang bagi bola sepak negara.

Kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha membangunkan lagi bola sepak Malaysia selain menyokong inisiatif FAM dalam memperluaskan pengaruh sukan ini di peringkat serantau dengan memastikan pasukan kebangsaan memiliki sumber yang mencukupi untuk bersaing pada tahap tertinggi. Bagi CARSOME, kolaborasi ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk memupuk bakat tempatan dan menyumbang kepada pembangunan sukan Malaysia secara keseluruhan.

Kunci simbolik, mewakili 15 buah kereta, telah diserahkan oleh Eric Cheng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CARSOME, kepada Yang Berbahagia Datuk Mohd Joehari Bin Mohd Ayub, Presiden FAM. Penyerahan ini menandakan permulaan kerjasama strategik yang bertujuan untuk menyokong dan memperkasakan mobiliti serta operasi pasukan bola sepak kebangsaan.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, CARSOME akan menyediakan 15 kenderaan untuk tempoh dua tahun akan datang bagi memastikan perjalanan pasukan lelaki, wanita, serta pasukan pengurusan lebih lancar dan selesa di sepanjang menghadapi perlawanan. Antara kenderaan yang ditaja termasuk Proton X90 dan X70, Mazda CX-5, Nissan Serena, BMW 3 Series, Volvo XC40, Mercedes-Benz GLC, dan Toyota Alphard.

Selain itu, CARSOME Academy, bahagian pendidikan CARSOME Group, turut menawarkan diskaun eksklusif dan insentif rujukan kepada ahli Pasukan Kebangsaan dan FAM untuk program TVET automotif, kemahiran insaniah, serta kemahiran teknikal. Inisiatif ini bertujuan untuk melengkapkan pemain dan kakitangan FAM dengan pengetahuan industri serta kemahiran praktikal yang berguna, sekali gus memberi mereka peluang untuk turut membina kerjaya di luar bidang sukan.

Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, “FAM berbesar hati untuk mengumumkan kerjasama baharunya bersama CARSOME, di mana ia adalah usaha yang mencerminkan komitmen kami untuk membawa bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. 

“Sebagai platform automotif terkemuka negara, FAM dan CARSOME kedua-duanya berkongsi semangat yang sama dalam mengejar kecemerlangan, inovasi dan pembabitan komuniti di mana nilai-nilai penting bukan sahaja dalam bola sepak tetapi juga dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Melalui jalinan kerjasama ini, FAM mahu terus meningkatkan pengalaman bola sepak bagi pemain, peminat, dan pihak berkepentingan dengan memupuk inisiatif yang menggalakkan pembangunan, aksesibiliti, dan sokongan terhadap ekosistem bola sepak tempatan.”

Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME, Eric Cheng menambah, “Bola sepak bukan sekadar sukan – ia menyatukan rakyat Malaysia dan memperkukuh identiti nasional kita. Membesar di Kelana Jaya, bersebelahan dengan FAM, saya berpeluang menyaksikan sendiri dedikasi serta kerja keras atlet bola sepak kebangsaan kita. Sukan ini sentiasa dekat di hati saya. Pengasas bersama saya, Teoh Jiun Ee dan saya sendiri mempunyai minat mendalam terhadap bola sepak dan memahami komitmen yang diperlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi.”

“Di CARSOME, kami percaya dalam menyokong aspirasi rakyat Malaysia – sama ada dalam perniagaan, pendidikan, atau sukan. Kerjasama ini bukan sekadar menyediakan pengangkutan; ini adalah usaha kami dalam memacu juara bola sepak negara  dengan memastikan pasukan Malaysia mendapat sokongan  dan kemudahan yang mereka perlukan untuk mencapai tahap yang lebih gemilang. Kami berharap kolaborasi ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk terus berdiri di belakang pasukan kebangsaan dan meraikan perjalanan mereka dalam arena bola sepak.”

(Duduk, kiri) Datuk Noor Azman bin Hj Rahman, Setiausaha Agung FAM, dan (duduk, kanan) Eric Cheng, Pengasas Bersama serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CARSOME, menandatangani perjanjian dalam satu majlis rasmi di Thistle Hotel JB. Upacara ini turut disaksikan oleh (berdiri, kiri) Yang Berbahagia Datuk Mohd Joehari Bin Mohd Ayub, Presiden FAM, serta (berdiri, kanan) Teoh Jiun Ee, Pengasas Bersama CARSOME merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME Academy.

Majlis menandatangani perjanjian rasmi telah diadakan di Hotel Thistle, Johor Bahru, Johor sebelum perlawanan pertama Malaysia tahun ini menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim. Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman dan Pengasas Bersama serta Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME, Eric Cheng. Turut menyaksikan sesi tandatangan ini ialah Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub serta Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME Academy, Teoh Jiun Ee.

Selain aspek pengangkutan, kerjasama ini turut mengukuhkan usaha FAM untuk mendekatkan bola sepak Malaysia kepada para peminat. Pelanggan CARSOME akan diberikan peluang eksklusif untuk berinteraksi dengan pemain kebangsaan, termasuk pengalaman di sebalik tabir serta sesi bertemu peminat.

Untuk maklumat lanjut mengenai kerjasama di antara FAM dan CARSOME, layari www.fam.org.my atau ikuti saluran media sosial rasmi FAM dan CARSOME.

###

Next
Next

Press Release: CARSOME Drives Harimau Malaya Champions Forward as FAM’s Official Automotive Partner