Siaran Akhbar: CARSOME Autofair 2025 Dimulakan dengan Perasmian Kenderaan Rasmi FAM
(Dari kiri) Datuk Mohd Joehari Bin Mohd Ayub, Presiden FAM, menerima kunci kereta simbolik daripada En. Eric Cheng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CARSOME, menandakan penyerahan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Petaling Jaya, 22 Mei 2025 – CARSOME, Rakan Automotif Rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini secara rasmi menyerahkan 15 buah kenderaan yang dihiasi dengan logo CARSOME dan FAM untuk menyokong keperluan operasi dan logistik FAM.
15 kenderaan tersebut terdiri daripada Proton X90, Proton X70, Mazda CX-5, Nissan Serena, BMW 3 Series, Volvo XC40, Mercedes-Benz GLC, dan Toyota Alphard. Kenderaan ini akan digunakan oleh pasukan kebangsaan lelaki dan wanita, serta pengurusan FAM, memastikan perjalanan yang selamat dan selesa sepanjang jadual bola sepak berlangsung.
Majlis penyerahan yang diadakan di CARSOME Automall ini turut menandakan pelancaran CARSOME Autofair 2025, sebuah acara selama empat hari dari 22 hingga 25 Mei yang menawarkan pelbagai promosi eksklusif, aktiviti menarik, dan penyertaan komuniti untuk pelanggan serta peminat bola sepak.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Tuan Jefri bin Ngadirin serta legenda bola sepak negara, Dato’ Zainal Abidin Hassan, yang kini menyandang jawatan Exco FAM. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan padu terhadap usaha berterusan membangunkan bola sepak Malaysia
Dalam ucapannya, Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CARSOME, Eric Cheng, menyatakan komitmen CARSOME untuk terus bekerjasama dengan FAM dalam menyokong pembangunan masa depan pemain kebangsaan di luar kerjaya sukan mereka. Beliau turut menekankan kerjasama berterusan menerusi CARSOME Academy sebagai sebahagian daripada inisiatif syarikat dalam memperkukuh pembangunan peribadi dan profesional jangka panjang pemain serta kakitangan FAM.
(Dari kiri) Aaron Kee, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan CARSOME, Yang Berbahagia Datuk Hj Mohd Hisamudin Bin Yahaya, Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM, Yang Berbahagia Datuk Mohd Joehari bin Mohd Ayub, Presiden FAM, En. Eric Cheng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CARSOME, bersama-sama dengan En. Teoh Jiun Ee, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME Academy serta Yang Berusaha Tuan Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kenderaan rasmi CARSOME x FAM semasa majlis pelancaran besar yang diadakan di PJ Automall.
"Penyerahan kenderaan ini menandakan satu langkah penting dalam kerjasama kami dengan FAM, menyediakan pasukan kebangsaan dengan mobiliti dan sokongan yang diperlukan mereka sepanjang jadual perlawanan mereka. Sebagai sebahagian daripada komitmen kami, kami juga mahu membantu pemain, lelaki dan wanita, bersedia untuk kehidupan di luar padang. Melalui CARSOME Academy, kami membuka peluang pendidikan dan kerjaya dalam industri automotif yang menyumbang 5 peratus atau RM82 bilion kepada KDNK Malaysia serta menyokong lebih 700,000 pekerjaan di seluruh negara. Kami bekerjasama rapat dengan FAM untuk mengenal pasti kursus dan bantuan yang sesuai, dengan harapan usaha ini dapat mewujudkan laluan yang bermakna bagi komuniti bola sepak untuk terus berkembang dalam sektor yang dinamik ini,” kata Cheng.
Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berharap kerjasama bersama CARSOME akan memacu lebih banyak kejayaan buat arena bola sepak Malaysia khususnya kepada pasukan kebangsaan.
“Kerjasama rasmi antara FAM dan CARSOME bermula pada 25 Mac lalu, yang mana pada hari yang sama, pasukan kebangsaan berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Nepal dalam aksi pembukaan Kelayakan Piala Asia 2027 di Johor.
“Ianya merupakan permulaan yang positif dan saya berharap kerjasama di antara FAM dan CARSOME akan menjelmakan lebih banyak kejayaan buat bola sepak Malaysia pada masa akan datang.
“Kami amat teruja dapat bekerjasama dengan CARSOME dalam tempoh dua tahun ini dan berbesar hati kerana mempunyai rakan kongsi yang berdedikasi seperti mereka,” katanya.
Pemain FAM bersama kenderaan rasmi CARSOME x FAM semasa majlis penyerahan rasmi.
Dalam acara Autofair ini, peminat bola sepak Malaysia juga berpeluang bertemu dengan Pemain Pasukan Kebangsaan dalam sesi ramah mesra yang akan diadakan pada 24 Mei 2025. Para pelanggan juga mempunyai peluang memenangi hadiah cabutan bertuah termasuk jersi yang ditandatangani oleh pemain pasukan kebangsaan, 10 tiket grandstand untuk perlawanan Kelayakan Piala Asia (Malaysia vs Vietnam - 10 Jun), baucar tint kereta, baucar pembalutan kereta penuh, dan jersi CARkey Bola edisi terhad.
Maklumat lanjut mengenai sesi ramah mesra bersama peminat itu dikongsi melalui saluran media sosial rasmi CARSOME dan FAM.
####