Siaran Akhbar: HSBC Malaysia Sediakan Pembiayaan Berasaskan Aset Sulung Sebanyak AS$15 Juta Bagi Meningkatkan Pertumbuhan CARSOME
Petaling Jaya, 16 Julai 2025, HSBC Malaysia baru-baru ini telah menyediakan kemudahan Pembiayaan Berasaskan Aset (“ABL”) sebanyak AS$15 juta yang pertama seumpamanya, kepada CARSOME Certified Sdn Bhd (CARSOME Certified) bagi membiayai pembelian kenderaan terpakai yang telah dibaik pulih untuk dijual kepada pelanggan runcit.
CARSOME Certified, yang merupakan entity operasi di dalam Kumpulan CARSOME, membaik pulih sehingga 2,000 buah kereta setiap bulan di pusat baik pulih kenderaan terbesar dan paling moden di Asia Tenggara, terletak di Klang, sekaligus menetapkan piawaian Baharu dalam industri kereta terpakai. Pembiayaan daripada HSBC ini akan menjadi pemacu utama dalam menyokong pertumbuhan operasi CARSOME Certified di Malaysia.
ABL atau Pembiayaan Berasaskan Aset HSBC merupakan kemudahan pembiayaan yang disediakan berdasarkan nilai aset tertentu, seperti receivables dan inventori, sama ada dalam bentuk berulang atau jangka masa tetap. ABL juga menawarkan nisbah Pinjaman kepada Nilai Aset (LTV) yang fleksibel, di mana jumlah pembiayaan yang diluluskan bergantung kepada aset yang menjana perniagaan, dan akan dikemaskini secara berkala selari dengan pertumbuhan aset syarikat.
Eric Cheng, Pengasas Bersama, Pengerusi & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CARSOME berkata, “Ekosistem kereta terpakai merupakan satu ekosistem yang kukuh dengan pelbagai titik sentuh dalam perjalanan pemilikan kereta terpakai seperti membeli, menjual, media, baik pulih, dan pembiayaan – dan kami melihat potensi dalam setiap peringkat ini. Sebagai platform e-dagang automotive bersepadu terbesar di Asia Tenggara, kami berbesar hati untuk bekerjsama dengan HSBC Malaysia. Permintaan terhadap pilihan lebih mampu dimilik semakin meningkat, dan pembiayaan ini akan membolehkan kami memperluas dan mengembangkan perniagaan CARSOME Certified, sekaligus memudahkan pemilikan kenderaan bagi rakyat Malaysia.”
Christina Cheah, Ketua Korporat Global dan Pasaran Pertengahan Antarabangsa HSBC Malaysia berkata, “Menurut laporan industri, pasaran kereta terpakai di Asia Tenggara dijangka mencecah AS$96.12 bilion menjelang tahun 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 6.65% sepanjang tempoh ramalan (2025-2030). Kami turut melihat pasaran kereta terpakai di rantau ini sebagai satu peluang besar kerana ia menjadikan pemilikan kenderaan lebih mudah diakses, terutamanya bagi rakyat Malaysia berpendapatan rendah dan sederhana atau pemilik kereta kali pertama. Pemilikan kereta mampu meningkatkan mobiliti pekerjaan dan produktiviti, di samping mengurangkan kadar kenderaan yang dilupuskan atau ditinggalkan, sekali gus mengurangkan sisa automotif. HSBC sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyokong dan memudahkan pertumbuhan perniagaan berasaskan teknologi seperti CARSOME Certified menerusi penyediaan penyelesaian kewangan kami yang menyokong ekonomi baharu.”
“Rumusan pembiayaan yang kami cipta untuk CARSOME Certified memberikan mereka dana yang fleksibel dan meningkatkan aliran tunai untuk pengembangan, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan kereta terpakai yang mampu milik kepada rakyat Malaysia. Pembiayaan ABL ini diikat kepada aset yang menjana aliran tunai, di mana pengeluaran dana akan dipantau berdasarkan prestasi kewangan serta pemantauan langsung terhadap kenderaan dalam inventori CARSOME,” kata Christina.